Khasiat Madu Lebah Asli & Kepentingan Kesihatan Diri Peminumnya

Khasiat madu lebah asli memang tidak boleh disangkal – bagus dan menakjubkan dari segi kepentingan kesihatan diri peminumnya. Fakta ini bersesuaian dengan yang ditegaskan dalam Quran (surah An Nahl ayat 69) bahawa madu lebah mengandungi penawar (iaitu banyak kebaikan) untuk manusia. Madu lebah asli dalam hal ini ialah madu tulen bukannya tiruan atau yang telah diproses, dipanas atau dicampur dengan sesuatu. Khasiat madu lebah menjadi rosak jika diproses pada suhu melebihi 40.5C ataupun dipanas dalam oven microwave (itu haba radioaktif). Madu berada dalam keadaan yang stabil pada suhu sekitar 35C – yang inilah yang mempunyai kepentingan kesihatan diri kepada peminumnya.

Selain daripada madu lebah biasa, ada dua jenis lagi iaitu madu kelulut dan madu lebah tualang. Jika ditanya kepada penjual madu, macam-macam cerita. Bagi kita, mana-mana jenispun, madu juga dan khasiatnya lebih kurang saja – madu lebah tualang ada kelebihan tertentu berbanding dengan madu lebah biasa; begitu jugalah halnya dengan madu kelulut. Yang penting bagi kita, lepas minum madu, badan jadi lebih cergas dan sihat – bolehlah menjalankan tugas harian dan tumpuan beribadah jadi lebih sempurna berbanding dengan tanpa minum madu. Perhatian: berhati-hati beli madu lebah tualang, ianya mudah ditiru dari segi rasa dan warna!

Kita dihujani dengan berbagai petua dan cara untuk menikmati khasiat madu lebah. Ada yang kata elok diamalkan minum madu lebah waktu awal pagi dan hendak tidur malam. Ada juga yang kata minum madu sebelum sarapan atau makan malam. Ada pula yang kata elok selepas sarapan dan makan siang serta malam. Yang lain pula, minum madu hendaklah yang dicampur dengan satu dua bahan lain seperti putih telur, telur ayam, telur itek, cuka epal, cuka kurma, cuka nipah, kunyit, habbatus sauda, minyak habbatus sauda, lada hitam, lada putih, lemon, limau nipis, limau kasturi, halia, temu lawak, jintan hitam, bawang putih, bawang merah dan berbagai lagi…

Oleh kerana macam-macam petua, kita perlu ada pengetahuan asas tentang madu lebah asli dan kepentingan kesihatan diri. Kita sama-sama tahu bahawa sebelum jus delima, cuka kurma dan habbatus sauda dihebahkan di negara kita, tak ada pula petua minumnya dengan madu. Dengan kata lain, itu semua meragukan dan jelas rekaan penjual semata-mata! Habbatus sauda misalnya, memang elok – ada hadis. Persoalannya ialah adakah hadis tu menegaskan supaya dicampur dengan madu? Tiada fakta penyelidikan yang boleh dijadikan sandaran tentang dakwaan sedemikian.

Madu yang dicampur dengan bahan-bahan lain tak banyak sikit kandungan sebatiannya mesti bertindakbalas antara satu dengan yang lain. Peminum akan mengalami kesan negatif terhadap kesihatan diri setelah sekian lama masa berlalu – bahaya terhadap kesihatan dan kesannya akan ketara kemudian, bukan segera. Masa tu nanti, barulah sibuk nak cari ubat pula. Pada hal, madu lebah asli dah terjamin mempunyai banyak manfaat untuk kepentingan kesihatan kita – tak perlu syak dan ragu-ragu, itu Pencipta kita yang bagitau. Satu contoh tentang tindakbalas antara sebatian bahan yang menimbulkan kesan yang begitu segera ialah sewaktu perut agak kosong, cuba makan semangkuk tapai pulut, lepas itu minum secawan kopi pekat atau kopi 3in1, dalam masa kurang daripada setengah jam kemudian makan pula durian kampong sebiji dua sekali gus. Anda boleh cuba jika nak tau apa yang akan terjadi…

Madu sebenarnya sumber tenaga yang mengandungi berbagai vitamin, mineral dan enzim yang telah diselidiki berperanan untuk membagus sistem pelalian (immune system) dan juga melancarkan fungsi anti-oksidan dalam darah. Madu diserap terus tanpa melalui sistem penghadaman. Itu jugalah sebabnya kita cepat rasa cergas sebaik saja minum madu. Rujukan ini memperincikan manfaat madu (sila sentuh!). Perlukah kita mencampur madu dengan bahan lain, sedangkan segala yang diperlukan oleh badan kita untuk sihat dan cergas serta cerdas ada dalam madu?

Kita tidak nafikan madu yang dicampur dengan itu ini tu ada manfaat yang tertentu tetapi itu semua di luar keperluan dan kepentingan kesihatan harian kita. Bagi kita yang mementingkan kesihatan diri, minumlah madu tanpa campuran apa-apa, hanya dengan air memadai jika perlu – itupun dibancuh hingga sebati dulu baru minum. Hindari minum madu waktu bangun pagi (perut kosong), kesihatan diri akan cepat pudar, terutamanya jika anda ada masalah asid perut. Kebaikan dan khasiat madu lebah asli berbanding dengan yang telah diproses tersenarai secara ringkas dalam gambar carta ini:-.

raw vs processed Honey Khasiat Madu Lebah Asli & Kepentingan Kesihatan Diri Peminumnya

kepentingan kesihatan – khasiat madu lebah asli berbanding dengan yang terproses

Kita mesti berwaspada sebab Allah tidak berfirman madu banyak kebaikan untuk manusia jika diminum bercampur itu ini. Oleh itu, untuk memperolehi khasiat madu lebah asli yang sempurna, minumlah tanpa campuran apa-apa. Jika terasa letih, cepat-cepat minum madu satu atau dua sudu – anda akan cepat rasa segar kembali. Bolehlah anda menjalankan kerja semasa tanpa perlu berehat dalam masa yang agak lama. Janganlah pula anda tidur sebaik minum madu – sia-sia saja jadinya. Perhatian – jangan minum lebih daripada 9 sudu dalam sehari semalam, tubuh kita tidak memerlukan sebanyak itu! Jika anda ada masalah asid perut, amalkan minum sesudu atau dua madu yang hanya dibancuh dengan air suam hingga larut sekitar 40 minit lepas sarapan dan makan malam – jika nak, boleh juga selepas makan tengahari . Insya Allah anda akan berasa segar dan sihat selalu. Anda tak perlu risau tentang kandungan gula dalam darah. Madu lebah asli BUKAN GULA berbahaya! Yang masalahnya madu yang dipelbagai – tak tulen, kandungan gulanya tinggi dan berbagai mineralnyapun terjejas.

Kepentingan kesihatan diri anda patut diutamakan berbanding dengan perkara lain. Ambillah manfaat daripada khasiat madu lebah asli. Kurangkanlah pengambilan sebarang ubat sebab ubat, walaupun suppliment dan vitamin ataupun herba, akan berlawanan dengan keperluan dan kepentingan kesihatan diri anda, semuanya akan mendorong kepada kerosakan buah pinggang, cuma tak segera dirasai. Bila sampai pada tahap buah pinggang gagal berfungsi dengan baik, anda akan terpaksa menjalani dialisis 3 kali seminggu – akan susah dan banyak menderita kelak! Kegiatan harian dan ibadah akan amat terhad. Waktu tu barulah menyesal, terutamanya bila melihat orang lain boleh ke mana-mana sesuka hati, sedangkan anda pula asyik menderita akibat mengabaikan kepentingan kesihatan diri.

Dikemaskini pada 7hb Dis 2016.

Comment (1)

  1. Pingback: Khasiat Madu Kelulut - rawat kanser, gastrik & pijar ulu hati?

Comments are closed.

XML Sitemap · Disclaimer · Privacy Policy · Terms Of Use
© Hak Cipta Terpelihara 2014 - 2018 · Perubatan Dr Rasid & Nazar – Perubatan Islam Jom Sihat Tanpa Ubat ·