Ciri perawat islam adalah asas untuk mengenali sesuatu perubatan itu sesunggguhnya perubatan islam ataupun pengubatan yang bercampur baur dengan perkara lain, khususnya khidmat jin setan. Oleh itu, ciri perawat islam amat perlu diketahui oleh pesakit yang hendak mencari tempat berubat cara islam. Punca ramai yang terjebak dengan pengubatan yang bertopengkan islam ialah kerana pesakit dan pembawanya tak tahu ataupun kabur tentang perubatan islam yang sebenar. Memang ramai yang sembuh berubat di tempat yang demikian, malangnya setelah masa berlalu, banyak masalah lain timbul kerana adanya peranan jin. Kini, banyak pusat rawatan alternatif dan tradisional islam yang wujud. Jika anda google “perubatan islam”, anda akan dapati ada lebih setengah juta halaman sesawang yang akan muncul. Ini ertinya begitu ramai perawat yang mengakui bahawa kaedah rawatan mereka adalah perubatan islam. Mereka juga mungkin tanpa sedar sedang melaksanakan pengubatan yang menyimpang daripada landasan islam. Mahu tak mahu, kita perlu tapis!

Mari kita perhatikan beberapa perkara supaya jelas dan yakin bahawa perubatan yang sedang dan akan anda setujui untuk berubat jelas benar tidak menyimpang daripada islam. Perubatan islam dalam hal ini merujuk kepada kaedah rawatan seseorang perawat islam yang tidak bercanggah dengan al-Quran, iaitu tiada unsur dan pengaruh jin sama sekali. Ini bermakna perkara yang mesti kita ambil berat ialah pelaksanaan pengubatan oleh perawat sebab mujarabnya sesuatu perubatan islam hanya jika perawatnya seorang islam yang taat dan takut serta merendah diri kepada Allah. Yang lainnya adalah mereka yang berpendamping iaitu menggunakan khidmat jin walaupun mereka bersandar kepada ayat-ayat al-Quran. Ini kerana mereka yang kurang taat dan tak takut kepada Allah tidak memenuhi syarat doa diterima. Kaedah berdoa yang akan mujarab boleh anda rujuk dalam ayat 55 dan 56 surah al-A’raf serta ayat 205 surah yang sama. Jika doa atau permintaan tertolak, berhasilnya sesuatu pengubatan oleh perawat tak lain tak bukan ialah kerana adanya peranan jin dan syaitan. Ciri perawat islam yang ini bukanlah mudah untuk diselami sebab ini berkaitan dengan tahap keimanan perawat.

Allah dah tegaskan berulang kali dalam al-Quran bahawa jin setan musuh kita manusia. Malah dalam surah alFatir ayat 6 ditegaskan “perlakukanlah jin setan itu macam musuh”. Ingkar yang ini bermakna tak taat kepada perintah Allah. Walaupun tak dijelaskan hukumnya tapi kita akan dipesongkan agar bersama mereka ke dalam neraka. Kita yang berubat ke perawat yang mengguna khidmat jin setan, bermakna kita subahat. Bersama merekalah ke neraka! Sayangilah diri anda sebelum terlambat!

Untuk membantu anda, ini ada sejumlah ciri perawat islam yang patut anda jadikan perkara asas dalam membuat penilaian. Semasa hendak mendapatkan rawatan, perhatikan samada perawat memiliki semua perkara berikut ini ataupun sebaliknya:-

  1. perawat memiliki wajah yang menyenangkan hati sesiapa yang memandangnya. Bukannya berwajah masam, bengis, garang, megah atau berlagak semacam – dia tidak kasar dan bermegah diri ataupun sombong dan angkuh. Perawat yang berwajah tak menyenangkan orang memandang sebenarnya memiliki hati yang berkarat – ini yang jin dan syaitan suka! Ertinya perawat yang begitu jelas dipengaruhi oleh jin dan syaitan daripada ilmu yang dimilikinya. Lain halnya jika perawat berkasar dan tegas terhadap jin dan syaitan dalam badan pesakit ketika merawat. Itu memang wajar sebab mereka derhaka kepada Allah dan Allah telah menegaskan berulang kali dalam al-Quran bahawa mereka musuh kita. Oleh kerana itu, perawat mesti berkasar terhadap mereka tetapi berlembut sesama kita.
  2. berdoa sebelum mula – ini ciri utama jika perawat seorang yang taat kepada perintah Allah. Dia berdoa dengan suara lembut. Itu tanda dia merendah diri minta rahmat Allah. Kekuatan apa yang perawat ada tanpa keredhoan Allah. Jika perawat tak berdoa waktu nak memulai rawatan, bermakna ada kuasa sampingan yang menunaikan hajat perawat itu, walaupun dia terus memulai dengan membaca beberapa ayat suci al-Quran. Saya pernah jumpa seorang pengamal Ayatul Kursi yang bersikap terlalu baran dan cepat melenting – sepatutnya bukan begitu!
  3. sepanjang sesi rawatan, hanya kedengaran ungkapan yang berkaitan dengan nama Allah dan ayat suci al-Quran. Bahasa kita hanya kedengaran mungkin waktu dia berdoa memohon kepada Allah dan waktu dia berdialog serta mencerca jin yang di dalam badan pesakit – itupun jika ada.
  4. tidak menggunakan al-Quran sebagai alat untuk mengetahui sesuatu. Contohnya, al-Quran (biasanya kecil) diikat ataupun digantung pada satu bekas yang ada bibir seperti labu. Dua orang mengangkat pada bibir bekas itu dengan menggunakan jari telunjuk yang berkeadaan bengkok. Perawat akan menanyakan soalan sambil memberi arahan jika betul supaya al-Quran dipusingkan ke kiri misalnya. Ungkapan seumpama itu 100% tak layak diucapkan oleh orang yang beriman. Apa mertabat perawat sebenarnya – itu kan mempermainkan al-Quran sambil menyebut nama Allah!
  5. tidak menyatakan bahawa dia tahu tujuan anda datang ataupun penyakit yang sedang anda hidapi, begitu ataupun begini, sebelum anda membuka mulut ataupun bercerita apa-apa kepadanya. Perawat yang begitu patut anda jauhi sama sekali. Cuba fikir, macam mana dia boleh tahu? Lainlah halnya jika dia imbas diri anda terlebih dulu baru dia bercerita – itupun mesti anda bandingkan, sesuai atau tidak dengan apa yang anda deritai.
  6. mesti dalam keadaan sedar dan waras bukannya “menurun”. Jika pesakit yang tak sedar ketika rawatan, itu boleh saja terjadi – yang pentingnya bukan perawat yang tak sedar.
  7. tidak mendewa-dewakan wali atau syekh ataupun seseorang yang sudah meninggal dunia dianggap bertaraf wali atau syekh. Ada juga perawat yang mengaitkan nama pusat rawatannya dengan nama wali atau syekh pujaannya. Perawat yang begitu, biasanya ada memaparkan gambar orang yang dikatakan wali atau syekh di pusat rawatannya. Ataupun selepas rawatan, pesakit disuruh amalkan sesuatu yang dikaitkan dengan nama wali atau syekh tertentu.
  8. tidak meminta asam, garam, jarum atau duit syiling sebagai pengeras ataupun samada sirih, pinang, mayang, pisang, bertih, tepung pengalin, telur, ayam atau kambing sebagai syarat berubat ATAUpun tidak meminta sedikit darah, tanah kubur atau tanah tempat lahir atau adek-beradek mesti ada ketika rawatan dilaksanakan.
  9. mendirikan solat bila masuk waktu – perhatikan perawat dan pembantunya (jika ada) semasa masuk waktu solat, jika mereka jenis orang yang solat, mereka secara bergilir akan pergi mengerjakan solat.
  10. berpakaian sopan dan menutup aurat – menutup aurat saja tidak memadai sebab lelaki yang menutup aurat tetapi tidak memakai baju adalah tidak sopan sebagai perawat.
  11. menjaga aurat sewaktu merawat – perawat tidak menyentuh pesakit yang bukan mahram sesuka hati. Ada juga perawat yang memakai sarung tangan – itu cukup bagus! Malangnya, pesakit pula yang tak menutup aurat – ini juga mengundang pengaruh jin dan syaitan. Tidak menutup aurat bermakna ingkar perintah Allah.
  12. tidak merokok – perokok sentiasa didampingi oleh jin sebab asap adalah makanan jin selain daripada tulang, lagipun merokok hukumnya haram bukan makruh seperti mana yang kebanyakan kita fahami. Perkara utamanya ialah mulut dan nafas perokok baunya busuk – ini memikat jin menjadi kawan karib yang terdekat. Itu jugalah puncanya terdapat ramai perokok yang terlalu panas baran. Bila berbicara tentang perkara ugama, suara dia akan makin meninggi dan berlagak hebat. Itu kan telatah iblis!
  13. tidak menggunakan asapan seperti kemenyan dan colok – itu alat pemanggil jin ataupun pendamping. Asapan daripada daun yang wangi bertujuan untuk memerangkap jin tidak sama seperti peranan colok dan kemenyan kerana jin benci bau wangi.
  14. tidak mengguna sebarang alat lama seperti besi, batu cincin ataupun barang peninggalan datuk nenek – awas, itu semua ada jin dalamnya.
  15. tidak meninggikan suara sewaktu menyebut nama Allah – biasa kita lihat perawat di siaran TV melaungkan perkataan Allah atau Allahu Akbar dengan nada tinggi dan kasar, malah ada juga yang terpekik-pekik. Perawat yang begitu, positif ada jin dalam badannya! Perawat islam sepatutnya sentiasa takut kepada Allah. Dengan sebab itu, dia tak akan berani nak menyebut nama Allah dengan nada tinggi – itu ‘kan mendehaka namanya, sama macam jin dan syaitan! Elakkanlah berubat ke tempat yang begitu!
  16. merawat secara terbuka, sesiapapun boleh tengok – bukannya perawat dan pesakit saja yang di dalam bilik khas, lebih-lebih lagi jika perawat lelaki dan pesakitnya perempuan. Rawatan kesihatan dengan cara berurut tanpa sarung tangan juga mendekatkan anda kepada kemurkaan Allah sebab masalah aurat (dosa) dan minyak urut juga ada yang telah diisi – dikhuatiri ada pengembarnya…
  17. merawat di tempat yang persekitarannya bersih dan tiada berbau yang tidak menyenangkan – jin dan syaitan amat suka tempat yang berbau dan kotor. Oleh kerana itu, kita disunatkan memakai bau-bauan tanpa alkohol ketika solat – jin dan syaitan benci bau wangi! Perawat islam yang memakai minyak wangi semasa merawat pesakit adalah orang yang faham tentang perkara ini – dia seorang pengamal perubatan islam yang tak mahu pengubatannya bercampur-baur dengan pengaruh dan khidmat jin.

Seandainya anda berubat di tempat yang perawatnya tidak memenuhi satu di antara ciri perawat islam yang tersenarai di atas, walaupun dia memakai ketayap dan jelas bacaannya, besar kemungkinan penyakit anda akan sembuh untuk beberapa ketika saja. Masalah akan timbul kerana adanya peranan jin. Oleh itu, berhati-hatilah. Wallahu a’lam…

Insya Allah, manfaatkanlah ciri perawat islam yang tertera di atas agar anda tidak ikut terpesong selamanya…

 

Dikemaskini pada 21hb Jul 2022

Sila kongsi untuk kebaikan:-